Monday, 21 April 2014

Sepertiga Pertama

Tetamu di Dataran Syam ini
Harus gagah seperti Abu Ubaidah
Tanah yang gersang disuburkan
Dengan darah jihad dan jiwa pahlawan

Di celah pohon zaitun yang rendang
Bersemadi syuhada pahlawan Islam
Menanti dan terus menanti
Hadirnya barisan waris perjuangan

Medan ini medan yang susah dan payah
Sesusah medan Mu'tah di puncak sana
Dan penghuninya juga harus gagah
Segagah Kota Karak perakam sejarah

Wednesday, 16 April 2014

Pesanku, wahai saudara.


Di hadapan aku
Pemuda yang kehilangan arah tujunya
Harapan yang dahulunya mekar
Kini telah dilontarkan
Jauh dari jiwanya
Bahkan tidak terkecuali
Harapan yang dimuatkan dalam agama
Yang ditawarkan Tuhan pada hambaNya
Baginya
Semua itu bagai tiada.

Wahai jiwa yang bersedih
Ketahuilah
Di saat kau mempersoalkan di mana Tuhan
Kerana satu per satu musibah datang menimpa
Tuhan mu tidak pernah meninggalkanmu
Tidak pernah mengabaikanmu
Seperti janjinya dalam ayat yang dinuzulkan
Pada Rasul yang mulia
Ayat ke tiga
Surah Ad Dhuha.

Saudara,
Sesungguhnya, 
Benar,
Pertolongan Allah itu dekat
Namun ia dekat pada mereka yang dekat denganNya
Itu apa yang ku percaya. 

Wahai jiwa yang bersedih
Tatkala kau mempersoalkan itu dan ini
Persoalkanlah juga
Ketika rezeki dan ni'mat dicurahkanNya padamu dahulu
Syukurmu di tahap apa?
Janjimu untuk taat pula apa ceritanya?
Sedar diri wahai diriku dan saudaraku
Kau perlukan Dia
Namun tanpa ketaatan dari kau
Dia tetap Penguasa setiap sesuatu.

Sungguh,
Allah tak berhajatkan apa-apa daripada kita.

Andai kau berhenti bersolat sekalipun
Jutaan manusia lain masih menyembahNya
Masjid masih penuh
Saf masih rapat.

Andai puasa tiada kau laksanakan
Insan lain masih bergembira mengerjakannya

Dan tinggallah engkau
Bersama jiwamu yang memberontak
Kepada Penciptamu sendiri
Di dunia ketenangan tiada
Akhirat tetap menanti.

Nasihatku,
Carilah ketenangan itu
Dalam SUJUD dan ZIKIR
Usah menipu diri sendiri
Mencipta alternatif
Untuk memperolehinya
Kerana hatta rasa tenang itu pun
Tetap dalam milikan Dia
Maka pintalah dariNya.

يا حي يا قيوم برحمتك استغيث اصلح لي شاءني كله ولا تكلني الى نفسي طرفة عين










Sunday, 13 April 2014

Bicara Hati Hamba pada Tuhan Hamba

Di kala malam yang sunyi sepi bani insan tengah tenggelam dalam tidur dan mimpi
Musafir yang malang ini tersentak bangun
Pergi membasuh diri
Untuk datang mengadap-Mu Tuhan.


Lemah lututku berdiri di hadapan-Mu
Sedu sedan tangisku keharuan
Hamba yang lemah juga mendekat
Bersimpuh di bawah Duli Kebesaran.


Tuhan
Hamba tidak tahu pasti
Bagaimana penerimaan-Mu
Di kala mendengar pengaduan hamba
Yang penuh dosa dan noda ini


Dalam wahyu yang Engkau nuzulkan
Engkau berjanji untuk sedia menerima pengaduan
Dan sudi memberi keampunan


Dan Muhammad Rasul-Mu yang mulia itu
ada mengatakan:
Ampunan Tuhan lebih besar dari kesalahan insan
hamba percaya pada tutur kepastian itu


Maka kerana itu hamba datang wahai Tuhan
Bukan tidak redha dengan ujian
Cuma hendak mengadu pada-Mu
Tempat hamba kembali nanti
Memohon sakinah,maghrifah dan mutmainna.




Friday, 4 April 2014

Sifat doa Rasulullah

Cukup cantik, cukup lengkap doa yang diajarkan Rasulullah untuk kehidupan seharian kita.
“Ya Allah, aku memohon kepadamu, ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima”
Bagaimana? Ringkas bukan? Padat dan penuh kesederhanaan.
Rasulullah tak berdoa dengan “Ya Allah, aku memohon kepadamu ilmu yang luas” , kerana wujudnya ilmu yang baik, memberi manfaat, juga wujudnya ilmu yang bersifat sebaliknya.
Juga tak meminta rezeki yang terbentang dengan seluas-luasnya, kerana padanya terdapat yang halal dan haram.
Terakhir, baginda memohon amalan-amalan yang dilakukan, diterima. Kerana bukan amalan yang menerima pujian dan menjadi kebanggaan diri dihadapan makhluk yang kita perlukan, tetapi redha dari Tuhan yang mampu diraih dengan amalan yang dilakukan penuh ikhlas dan tawadhu’ kepada Tuhan.