Thursday, 12 September 2013


Sama ada kita syukur atau kita kufur? Berapa ramai diantara kita selalu memikirkan dan bermuhasabah dengan segala nikmat yang Allah berikan? Nikmat iman, islam, kesihatan,keluarga dan harta semuanya adalah milik mutlak Allah Azzawajalla. Namun, adakah kita sedar bahawa segala yang kita miliki ini hanyalah sebuah pinjaman yang Allah berikan buat kita demi melihat samaada kita bersyukur atau tidak. Kadangkala nikmat yang Dia kurniakan mampu untuk mendekatkan kita denganNya, namun ada juga yang terus memilih untuk menjauh diri dengan penciptaNya lalu khayal dan bongkak dengan segala pinjaman kurnian Allah Ya Rabbul Izzati sepertimana Qarun yang telah Allah timpakan dengan nikmat kekayaan dan kesenangan.


Firman Allah s.w.t

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan kepada kamu tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu, sesungguhnya Allah Amat Pengampun lagi Amat Mengasihi". 

(Surah An-Nahl ayat 18 )


Jika dijadikan nikmat Allah sebagai maudhu, antara ceritera paling masyur di Nusantara ini adalah kisah Ulama Agung Nusantara, Hamka dengan seorang jutawan. Diceritakan suatu hari Buya Hamka sedang berjalan bersiar-siar di sebuah kawasan dimana disekelilingi sawah padi yang terbentang luas bersama seorang hartawan Indonesia. Maka di suatu persimpangan, mereka berhenti ditepi jalan bagi melihat dan menghirup suasana yang mendamaikan di tengah-tengah petak sawah. 

Sedang mereka berbual, hartawan ini terlihat seorang wanita sedang membawa bekalan makanan tengahari buat suaminya yang sedang bercurah peluh mengusahakan sawah. Si isteri menghamparkan tikar dan memanggil suaminya untuk menjamah makanan yang dibawanya terlebih dahulu sebelum menyambung melakukan pekerjaan. Dengan wajah yang penuh senyuman meskipun keletihan, si suami menjamah makanan yang dibawa isterinya penuh nikmat meskipun lauk pauk yang dimasak hanyalah sekadar sahaja. Lalu hartawan ini bertanya kepada Buya Hamka.


"Pak, saya ini orang kaya. Punyai kereta yang besar, gedung besar, usahawan yang juga besar, tapi saya tidak pernah makan seenak itu." 


sambil matanya menuju kepada pengusaha sawah dan isterinya.


Hamka hanya mampu mengukir senyuman lalu dia berkata


 "Lihatlah bagaimana Allah membahagi-bahagikan nikmat"


Ramai yang tersalah sangka bahawa kebahagian ini selalunya diukur atas dasar harta. Namun sebenarnya kebahagian atau sakinah dalam kehidupan hanya dirasai apabila kita menjadi insan yang bersyukur dengan segala nikmat yang Allah berikan. Mungkin kita lihat sesorang itu kaya dan banyak harta, namun percayalah belum tentu si kaya itu rasai kebahagian dalam hidupnya. Kadangkala orang miskin yang kurang harta, makanannya hanya sederhana lebih bahagia dari mereka yang lebih berharta. Kebahagian ini adalah sebuah keajaiban yang sangatlah sukar untuk diukirkan dengan perkataan.

Allah itu Maha Adil dan "Lihatlah Bagaimana Allah Membahagikan Nikmat"

No comments:

Post a Comment